Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 20 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) memperkasa kesedaran warga emas terhadap kepentingan kesihatan otot, fungsi fizikal dan pemakanan melalui Program Monitoring Muscle, Empowering Ageing yang melibatkan seramai 80 warga emas komuniti, baru-baru ini.
Program berbentuk libat urus komuniti dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu diketuai Pensyarah Jabatan Dietetik, FPSK, UPM, Prof. Dr. Chan Yoke Mun dengan penglibatan Jabatan Dietetik, FPSK dan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™), UPM.
Inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama National Council of Senior Citizens Organisations Malaysia (NACSCOM), Persatuan Warga Emas Damansara Jaya (DJSCA) serta Sentral Senior Citizens Association (SSCA), Petaling Jaya.
Selain itu, seramai 15 pelajar Dietetik dan enam warga kerja MyAgeing™ UPM terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program yang menggabungkan pendidikan kesihatan, saringan kesihatan otot, penilaian pemakanan serta kaunseling dietetik.
Prof. Dr. Chan berkata, penuaan sihat perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada berat badan atau kewujudan penyakit.
“Kesihatan otot, kekuatan otot dan fungsi fizikal merupakan antara aspek penting yang sering kurang diberi perhatian, sedangkan ketiga-tiganya berkait rapat dengan keupayaan seseorang untuk bergerak, berdikari dan mengekalkan kualiti hidup apabila usia meningkat.
“Melalui program ini, kami mahu warga emas memahami keadaan kesihatan otot mereka dan pada masa sama menyedari bahawa pilihan harian seperti pemakanan, aktiviti fizikal, tidur yang mencukupi dan gaya hidup sihat boleh memainkan peranan dalam mengekalkan kekuatan serta fungsi tubuh,” katanya.
Program itu turut menampilkan sesi pendidikan kesihatan bertajuk From Plate to Strength: Building Strong Muscles yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai hubungan antara pemakanan harian dengan keupayaan tubuh mengekalkan kekuatan dan fungsi otot seiring pertambahan usia.
Peserta menjalani saringan kesihatan yang merangkumi pengukuran berat dan ketinggian badan, peratusan lemak badan, kandungan air badan serta jisim otot.
Aspek kesihatan otot turut dinilai melalui penilaian jisim otot, kekuatan otot dan fungsi fizikal bagi membantu peserta memahami status kesihatan otot masing-masing serta kepentingan mengekalkan keupayaan fizikal.
Selain itu, penilaian pemakanan dilaksanakan bagi mengenal pasti corak pengambilan makanan dan amalan pemakanan warga emas sebelum mereka menerima kaunseling dietetik secara individu.
Menurut Prof. Dr. Chan, pendekatan berasaskan saringan dan kaunseling secara individu membolehkan nasihat yang diberikan lebih dekat dengan keperluan serta keadaan setiap warga emas.
“Setiap warga emas mempunyai latar belakang, corak pemakanan dan tahap keupayaan fizikal yang berbeza. Justeru, maklumat daripada saringan dan penilaian pemakanan membantu kami memberikan pendidikan serta nasihat yang lebih praktikal dan bersesuaian.
“Yang lebih penting, warga emas tidak hanya menerima keputusan saringan, tetapi turut dibimbing untuk memahami maksud keputusan tersebut dan perkara yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Setiap warga emas turut menerima laporan saringan kesihatan individu yang merumuskan hasil penilaian berkaitan sebagai bahan pendidikan dan kesedaran kesihatan.
Laporan tersebut bukan bertujuan menggantikan diagnosis atau penilaian perubatan, sebaliknya membantu warga emas memahami beberapa indikator kesihatan dan status otot mereka serta menjadi panduan untuk mengambil langkah penjagaan kesihatan yang bersesuaian.
Program itu turut memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelajar Jabatan Dietetik, FPSK, UPM apabila mereka berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam persekitaran komuniti sebenar.
Pelajar Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, FPSK, UPM, Yap Yoke Lan, berkata pengalaman berinteraksi secara langsung dengan warga emas memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai peranan ahli dietetik dalam menyokong penuaan sihat.
“Program ini memberi peluang kepada kami untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kuliah, khususnya dalam penilaian pemakanan, pendidikan kesihatan dan komunikasi dengan peserta.
“Pada masa sama, kami dapat melihat bahawa peranan dietetik bukan hanya dalam persekitaran klinikal, tetapi turut merangkumi pendidikan, pencegahan dan intervensi pemakanan dalam komuniti,” katanya.
Rakannya, Yeap Jing Ling, berkata penglibatan dalam program berasaskan komuniti itu turut membantu pelajar memperkukuh kemahiran praktikal, komunikasi dan profesionalisme.
“Pengalaman seperti ini sangat bermakna kerana kami berhadapan dengan warga emas daripada pelbagai latar belakang dan perlu menyesuaikan cara penyampaian maklumat supaya mudah difahami.
“Program sebegini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami keperluan sebenar masyarakat dan bagaimana ilmu dietetik boleh diterjemahkan kepada amalan yang praktikal,” katanya.
Tarikh Input: 21/08/2026 | Kemaskini: 21/08/2026 | eszereen

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA